SHAH ALAM: Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Pemilihan Lokman diumumkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan di majlis pengumuman calon di pejabat Umno Kota Raja hari ini.
Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu akan mencabar calon Pakatan Harapan, Zawawi Ahmad Mughni, yang akan mempertahankan kerusi PKR itu.
Lokman akan bertanding sebagai calon BN walaupun terdapat spekulasi Umno buat pertama kali akan meletakkan calon atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, nama Melayu parti itu.
Lokman merupakan bekas ahli PKR dan pernah ditahan 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum dipecat parti reformasi itu. Dia menyertai Umno pada 2016.
Beliau kini mengerakkan beberapa tunjuk perasaan anti-kerajaan sejak kekalahan BN pada pilihan raya lepas, mengetuai kumpulan yang dinamakan “Pemantau Malaysia Baru”.
Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.
Pada pilihan raya umum lepas, PKR mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dengan 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.
Terdahulu, PH menamakan Zawawi, seorang pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
Penamaan calon akan diadakan esok manakala hari pengundian pada 4 Ogos.