KUALA LUMPUR – Desakan aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir agar golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) diberikan hak kesamarataan dari sudut hak asasi mendapat reaksi seorang doktor, Dr. Nur IIyani Mohamed Nawawi.
Doktor yang berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab 11 itu menulis surat terbuka kepada Marina di Facebook pada 6 Ogos 2018.
Surat terbuka yang mendapat 4,000 suka dan dikongsi sebanyak 2,700 kali itu bagaimanapun telah dipadamkan oleh pihak Facebook kerana mendapat laporan dari penyokong LGBT.
Walaupun begitu, salinan skrin surat terbuka itu telah dikongsi di media sosial.
Marina sebelum ini berkata, apa yang beliau mahukan untuk komuniti LGBT bukanlah meminta hak tambahan yang boleh mencabar undang-undang seperti menghalalkan perkahwinan sejenis.
Sebaliknya, menurut Marina hak yang diminta untuk komuniti LGBT adalah hak mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan tanpa sebarang diskriminasi.
Berikut adalah surat terbuka Dr. Nur IIyani kepda Marina:
Kehadapan Cik Puan Marina bt Mahathir
1) Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.
2) Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?
3) Sehingga kini, walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?
4) Adakah Cik bersetuju jika ada darah yang didermakan oleh golongan LGBT didermakan kepada salah seorang ahli keluarga Cik? (Buat masa sekarang pengamal LGBT tidak dibenarkan mendermakan darah disebabkan gaya hidup yang berisiko tinggi). Adakah itu kesamarataan yang Cik mahukan?
5) Jika kalian melaungkan hak, maka kami juga mahu melaungkan hak untuk hidup aman damai serta bebas dari gaya hidup songsang dan segala penyakit bawaannya.
6) Akan tetapi, jika kalian mula mempromosi gaya hidup sebegini di media, kalian sudah mula mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman kehidupan kami untuk mendapat akses yang murni di media-media.
7) Kami juga punya hak untuk memastikan pemikiran anak-anak kami dan sanak saudara kami agar terselamat daripada terjerumus ke dalam pemikiran dan perbuatan songsang ini. Na’uzubillah.
8 ) Akhirnya, jika kalian rasa itu bukan satu dosa dan itu adalah hak peribadi, maka buatlah tapi pastikan kalian bukan berada di bumi Tuhan!
Nur Ilyani Mohamed Nawawi
Pasir Mas