KUCHING: Selain cukai, banyak faktor lain mengawal kepada kenaikan harga barang.
Justeru, terdapat barang sebelum ini yang tidak dikenakan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) atau selepas ini tiada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), boleh naik harga.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pelaksanaan SST sepatutnya dapat menurunkan sehingga separuh beban cukai kepada pengguna berbanding GST.
Bagaimanapun, menurut beliau, sama ada harga kekal, naik atau turun ia bukan sekadar tertakluk kepada ada cukai atau tidak.
Menurut beliau melalui SST hanya 6,000 barangan dikenakan cukai berbanding 11,000 barangan bawah GST.
Sementara, di bawah SST sebanyak 77,451 perniagaan seluruh negara dikenakan cukai berbanding 472,000 bawah GST.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam berkata sehingga kini, sebanyak 77,451 syarikat (32,557 cukai jualan, 44,874 cukai perkhidmatan) di seluruh negara didaftarkan secara automatik di bawah SST, berbanding 472,000 syarikat di bawah GST.
Di Sarawak daripada 30,000 perniagaan yang didaftar di bawah GST kini hanya 3,794 perniagaan didaftar secara automatik di bawah SST.
Bercakap pada sidang media selepas Taklimat GST Bersama Peniaga anjuran Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Wisma Kastam Sarawak, Subromaniam percaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia memantau kerenah peniaga.
Menurut beliau, Jabatan Kastam turut sentiasa membantu kementerian memantau harga barang sama ada dicukai atau tidak. –Sarawakvoice