KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu menerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akan meneruskan pemberian air percuma kepada 834 masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di seluruh negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Atemin Sulong berkata, kerajaan negeri juga meneruskan agenda pemberian subsidi sebanyak 50 meter padu bekalan air bersih kepada 1,029 masjid dan surau di seluruh negeri.
Katanya, masjid dan surau di Kemaman mencatatkan jumlah tertinggi menerima bekalan air percuma membabitkan sebanyak 186 buah diikuti Besut (177), Hulu Terengganu (103), Kuala Terengganu (98), Dungun (93), Marang (86), kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) (48) dan 43 di Marang.
“Nilai penggunaan air bersih yang diberikan secara percuma kepada 834 masjid dan surau di seluruh negeri dianggarkan melebihi RM1 juta setahun.
“Pemberian bekalan air percuma dan subsidi kepada semua masjid dan surau yang berdaftar dengan JHEAT adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SATU kepada masyarakat Islam di seluruh negeri,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Atemin berkata, jumlah masjid dan surau yang diberi subsidi bekalan air bersih pula membabitkan 476 buah di Kuala Terengganu, Marang (176), Besut (110), Hulu Terengganu (105), Setiu (62), Dungun (50), Kemaman (41) dan sembilan di kawasan KETENGAH.
Katanya, semua masjid serta surau yang dikategorikan penerima subsidi bekalan air bersih percuma sebanyak 50 meter padu dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar 95 sen bagi setiap meter padu.
“Berdasarkan bil semasa dikeluarkan SATU bulan lalu, jumlah penggunaan bekalan air bersih digunakan masjid dan surau kategori subsidi melebihi 50 meter padu dianggarkan melebihi RM40,000,” katanya.