BEKAS juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli merayu pertolongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung hukuman gantung 20 tahun dikenakan ke atas dirinya oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana didapati bersalah mengatur perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu turut didenda AS$25,000 (RM98,358).

Zulfafli ketika sidang medianya, hari ini menyifatkan dirinya menjadi mangsa penindasan BWF apabila menegaskan badan induk itu menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh.

Katanya, perbualan menerusi Whatsapp antara dia dengan seorang lagi pemain yang turut didapati bersalah mengatur perlawanan, Tan Chun Seang yang dijadikan sebagai bukti utama oleh BWF sebenarnya adalah perbincangan mengenai penajaan dan aktiviti mereka mengunjungi kasino.

“Saya nafikan saya terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan. Malah, pihak pendakwaan BWF gagal mengemukakan bukti perlawanan mana yang saya atur apabila mereka memaklumkan mereka tidak tahu perlawanan yang mana ketika ditanya.

“Perbualan saya dengan Chun Seang kebanyakan menjurus kepada penajaan kerana kami adalah pemain profesional. Selain itu, ia juga menjurus kepada perbincangan kami mengenai pertaruhan di kasino.

“Saya rasa semua pemain badminton di dunia akan mengunjungi kasino jika ada masa terluang,” kata Zulfadli yang juga juara remaja Asia 2011.

Chun Seang dihukum gantung selama 15 tahun dan didenda AS$15,000 (RM59,014).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.