Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 25 September depan sebagai tarikh untuk pengurusan kes tuntutan takhta Sultan Terengganu daripada keturunan Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman.

Plaintif, Tengku Sulaiman yang merupakan anak lelaki sulung kepada Tengku Abdul Halim Tengku Ali menuntut haknya menduduki takhta Sultan Terengganu berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu 1911.

Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 59 tahun telah memfailkan tuntutan tersebut pada 3 Mei lalu.

Tengku Sulaiman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu ditemani peguamnya, T. Mura Raju, buat kali ketiga selepas kali pertama pada 6 Jun lalu dan disusuli pada 17 Julai di mahkamah sama.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan 25 September sebagai sebutan semula kes selepas mengambil kira permintaan pihak defendan yang bercadang untuk membalas afidavit pihak plaintif.

Tengku Sulaiman menamakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus, Shaikh Harun Shaikh Ismail dan kerajaan negeri sebagai defendan.

Menerusi tuntutan beliau, Tengku Sulaiman memberitahu pada 26 September 1942, Tengku Ali menduduki takhta kerajaan negeri Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

Bagaimanapun Tengku Ali diturunkan daripada takhta itu pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu yang kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.

Beliau mendakwa Tengku Ali mempunyai anak sulung lelaki berusia 11 tahun iaitu Tengku Abdul Halim yang sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.

Justeru plaintif, Tengku Sulaiman yang merupakan anak lelaki sulung kepada Tengku Abdul Halim menuntut haknya menduduki takhta Sultan Terengganu berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu 1911.

Pernyataan tuntutan itu turut memaklumkan plaintif sebelum ini pernah mengemukakan tuntutannya kepada Dewan Pangkuan Diraja Terengganu yang mana buat masa ini ia dikendalikan oleh defendan.

Menurut tuntutan itu, dewan tersebut mengeluarkan surat pada 1 September 2014 yang memutuskan sebulat suara secara bertulis bahawa tuntutan plaintif ditolak sambil memberi amaran supaya plaintif jangan melakukan khianat atau derhaka seperti termaktub dalam Fasal 52 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911 dan Fasal 27 (bab atau bahagian kedua) perlembagaan.

LEAVE A REPLY