Saksi kemalangan diminta tampil membantu pihak polis bagi mengesan kes langgar yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di KM43.5 Jalan Klang – Teluk Intan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi itu, mangsa, Ngawan Palil, 75, yang juga pesara guru dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115zr seorang diri dari arah Kuala Selangor mahu pulang ke rumahnya.

Mangsa yang beralamat di Lot24 batu 26 1/4 Jalan Kelang itu dikatakan sedang berhenti di tengah jalan untuk membelok ke rumahnya sebelum dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang.

Sumber berkata, mangsa dilihat dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kemalangan maut terbabit.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan disiasat Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Subaimi.

“Kes ini dipercayai langgar lari dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kuala Selangor untuk berkongsi maklumat,” katanya.

LEAVE A REPLY