Seorang wanita yang menurunkan tandatangan bertulis ‘Babi’ pada saman trafik yang diterimanya akhirnya menerima hukuman apabila dikenakan denda sebanyak RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Yeoh Foong, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh yang merupakan ibu tunggal dan berasal dari Permas Jaya di sini didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Tan Razak di sini, pukul 8.50 malam kelmarin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Chuah Shyue Chien meminta mahkamah mengenakan hukuman yang ringan ke atas anak guamnya memandangkan dia menghidap penyakit anemia dan kejadian mungkin berlaku akibat ketidakstabilan emosinya.

Akhbar hari ini melaporkan kebiadapan seorang wanita menurunkan tandatangan bertulis perkataan ‘Babi’ pada saman trafik yang diserahkan oleh seorang anggota polis trafik mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Tun Razak di sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.55 malam itu berlaku ketika anggota trafik daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS melakukan tugasan di jalan berkenaan menyaman wanita berkenaan atas kesalahan lalu lintas.

LEAVE A REPLY