Seorang wanita ditahan polis selepas menulis perkataan ‘Babi’ di atas surat saman trafik yang dikemukakan terhadapnya dalam kejadian di Jalan Tun Abdul Razak malam semalam.

Wanita tempatan berusia 53 tahun dan tidak bekerja itu ditahan selepas menengking anggota polis trafik apabila perbuatannya itu ditegur.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.50 malam ketika anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, menjalankan tugas di lokasi berkenaan sebelum menahan sebuah Mercedes yang dipandu suspek.

“Anggota polis trafik menahan kenderaan suspek kerana dia menghalang lalu lintas selepas enggan memberi kerjasama kepada polis.

“Saman kemudian dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan menghalang lalu lintas, mengabaikan isyarat lalu lintas dan meletakkan kenderaan di garisan berkembar.

“Ketika anggota polis trafik meminta suspek menandatangani saman yang dikeluarkan, suspek bertindak menulis perkataan ‘Babi’ di ruang tanda tangan itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan suspek itu dipercayai cuba menconteng dengan niat memperlekehkan dan menghina anggota polis trafik berkenaan.

Katanya, anggota polis trafik itu kemudian menegur perbuatan suspek, tetapi suspek menengking dan menyatakan namanya adalah ‘Babi’.

“Dengan bantuan Unit Peronda MPV, kita berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan juga sudah dilengkapkan dan mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek di mahkamah esok mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya.

LEAVE A REPLY