Malang nasib seorang wanita apabila beg tangannya dicuri semasa bersolat di surau GM Klang.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.08 petang, 19 November lalu, mangsa, Arijan Najihah, mengalami kerugian lebih RM1,000.

Meskipun redha dengan apa yang berlaku, namun Arijan kesal dengan tindakan beberapa pihak yang bersikap endah tak endah dalam membantu menangani kesnya.

“Apa yang mengecewakan adalah pihak pengurusan dan pihak keselamatan GM Klang yang bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab. Malah mereka siap maklumkan kepada pegawai polis penyiasat bahawa saya sebenarnya tidak membawa beg ke surau.

“Apa motif mereka? Mungkin nak tutup kes?” katanya.

Keadaan itu memaksa Arijan berusaha sendiri meminta sendiri untuk melihat rakaman CCTV dari pemilik kedai-kedai berhampiran dengan surau dan memang jelas bahawa dia membawa beg ke surau. Malah, nampak individu yang mengambil beg tangannya.

Individu yang mengambil beg tangan milik Arijan Najihah di surau GM Klang.

“Mula-mula polis penyiasat seperti tidak percaya dan saya mendesaknya untuk menyiasat lebih mendalam lagi kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Dan akhirnya saya berjaya mendapatkan gambar seorang wanita yang telah mengambil beg tangan saya,” katanya.

Suspek seorang wanita yang memakai tudung bunga-bunga dan berbaju belang jelas sekali dilihat telah mengambil beg mangsa dan keluar dari surau.

“Pihak pengurusan dan keselamatan GM Klang memang teruk, sungguh tidak profesional dan tidak bertanggungjawab. Semasa saya sedar beg saya hilang, saya terus lari keluar surau dan berlari ke kedai berhampiran jikalau pencurinya masih ada di situ sebelum berlari ke bilik pengawal keselamatan untuk membuat laporan.

“Bila saya meminta mereka tunjukkan CCTV yang menghala ke pintu keluar, daripada membantu, mereka bergaduh dengan saya dan meminta saya keluar dari bilik itu selepas saya selesai menulis laporan.

“Saya beritahu, kalau mereka tak nak kejar, saya boleh kejar sendiri. Saya cuma mahu tahu di mana arah tuju pencuri itu dan saya tahu beg saya. Namun mereka tidak hairan sebab yang mengalami kerugian adalah saya, bukannya mereka dan mereka tak ambil sebarang tindakan,” katanya.

Ekoran itu, mangsa terpaksa duduk di tempat letak kereta kerana bimbang jika pencuri itu datang untuk mengambil keretanya pula kerana ada kunci kereta di dalam beg tangannya yang dicuri.

“Hanya saya, kakak dan anak saudara kecil dalam panas, kelaparan dan takut sebelum saya menghubungi polis yang kemudian datang bertanya di mana suami saya dan kenapa tidak menghubunginya.

“Boleh pula polis itu kata, nak buat laporan di balai atau nak tunggu kereta? Kalau sayang kereta, duduk sini tunggu kereta. Saya tergamam dan polis itu berlalu pergi meninggalkan kami,” katanya.

Gambar wanita yang mencuri beg tangan itu kini viral di media sosial. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil memberikan maklumat kepada Rijan Najihah.

LEAVE A REPLY