Wanita Maut Terbelit Tali Pinggang Keledar | Blog Berita Online

Wanita Maut Terbelit Tali Pinggang Keledar

August 10th, 2013 0 Comments Dalam Negeri, Tragedi & Bencana

“Sebaik terjun dan menyelam ke dasar kolam, saya melihat seorang wanita terkulai di tempat duduk penumpang belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan badan terbelit tali pinggang keledar,” kata seorang saksi kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah semalam.

Saksi berkenaan, Mikail Malik, 15, berkata dia dan rakannya, Mohd Izzat Mohd Nizar, 16, yang berada di tempat kejadian terjun ke dalam kolam memancing itu bagi menyelamatkan mangsa sejurus kemalangan.

“Ketika kejadian, saya bersama Izzat dalam perjalanan ke Ampangan, Seremban, sebelum ternampak sebuah kereta menjunam laju ke dalam kolam berkenaan. “Saya cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal kerana badan wanita itu tersekat pada tali pinggang keledar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, dari Batu Caves, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas selepas badannya terbelit tali pinggang keledar.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala Seremban cuba memotong treler di depannya, namun gagal selepas tiba-tiba sebuah bas henti-henti berada di laluan bertentangan.

Suzimah cuba masuk semula ke laluannya, namun kenderaannya bergesel dengan treler yang cuba dipotong menyebabkan keretanya terbalik beberapa kali sebelum terjunam dalam kolam berkenaan yang terletak di kiri jalan.

Menurut Mikail, dia meminta bantuan pemandu lori yang melalui kawasan itu untuk menarik kereta berkenaan, namun gagal kerana kereta itu terbenam dalam lumpur.

“Saya terkilan kerana lambat terjun dalam kolam itu untuk menyelamatkannya, jika tidak mungkin wanita itu masih hidup,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, wanita terbabit yang memandu berseorangan dari Kuala Pilah ke Seremban, di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selangor berdasarkan penemuan dua beg pakaian dalam kereta itu.

Katanya, setiba di tempat kejadian berhampiran sebuah kolam, kereta mangsa cuba memotong treler yang membawa batu, namun gagal kerana ketika itu, sebuah bas henti-henti datang dari arah bertentangan.

“Mangsa cuba memasuki laluannya semula, namun bergesel dengan bahagian depan kanan treler berkenaan menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum keretanya terjunam dalam kolam.

“Keadaan kolam yang dalam menyebabkan orang ramai tidak dapat membantu membawa keluar mangsa dipercayai lemas,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat lemas selepas gagal keluar dipercayai kerana badannya terbelit tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Incoming search terms:

Sign up free email newsletter

Stay Updates with this Blog. Get Free email newsletter updates, Enter your Email here:

Don't forget to confirm your email subcription

Leave a Reply to this Post