Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun di Klang, Selangor sebagai mangsa pertama dijangkiti virus Zika di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, wanita berkenaan telah mengunjungi anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos dan pulang ke tanah air dua hari kemudian.

Subramaniam dalam satu kenyataan berkata, wanita berkenaan dilaporkan mulai demam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan.

“Memandangkan pesakit mempunyai sejarah melawat ke Singapura dan anak perempuannya yang berada di negara tersebut telah disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos 2016, maka Pengamal Perubatan swasta berkenaan telah mendiagnosa pesakit sebagai “disyaki kes Zika”.

“Pada hari yang sama pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan ujian kencing pesakit untuk PCR pada 31 Ogos 2016, adalah positif untuk Zika virus. Manakala ujian darah pesakit masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan disyaki berlaku di Singapura yang mana hari pesakit mula mengalami tanda-tanda Zika adalah sama hari dengan anaknya mula sakit di Singapura. Suami pesakit dan ahli keluarga yang tinggal serumah bersamanya, sehingga kini masih belum menunjukkan simptom jangkitan Zika,” katanya.

Katanya, anak wanita berkenaan di Singapura disahkan dijangkiti virus Zika pada 30 Ogos lalu oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura.

Katanya lagi, kementerian akan melaksanakan kawalan vektor nyamuk Aedes di kawasan perumahan wanita itu di Taman Botanik, Klang.

LEAVE A REPLY