Macam-macam cara boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara pekerja dengan pegawai atasan. Namun, jika salah satu cara tersebut adalah ‘mencium’ pegawai tersebut setiap pagi, adakah anda sanggup untuk melakukannya sebelum memulakan kerja?

Malangnya, itulah yang terpaksa dilalui kakitangan wanita di sebuah syarikat menjual peralatan membuat minuman di Beijing, China apabila syarikat berkenaan meletakkan syarat supaya mereka perlu mencium pegawai atasan sebelum memulakan kerja.

Menurut shanghaiist.com, pada jam 9.00 hingga 9.30 setiap pagi, kakitangan wanita dikehendaki berbaris dan mencium ‘boss’ mereka, kononnya bagi mengeratkan hubungan antara pekerja dengan pegawai atasan.

Video serta gambar memaparkan ‘adegan pelik’ itu kini tersebar di laman sosial di China, yang mana rata-rata pengguna Weibo mempersoalkan bagaimana pekerja-pekerja wanita berkenaan boleh terus bekerja dalam persekitaran yang menjijikkan itu.

Berdasarkan video, pegawai berkenaan, yang memakai baju bewarna putih mencium pekerja wanita, meskipun segelintir daripada mereka seolah tidak rela dan dalam keadaan ‘terpaksa’ melakukan rutin tersebut.

Sementara portal Sohu melaporkan, kakitangan wanita pada mulanya dikatakan enggan melakukan rutin tersebut, namun hampir semua daripada pekerja itu terpaksa akur dengan permintaan ketua mereka.

Difahamkan, hanya dua kakitangan wanita yang benar-benar enggan mencium ketuanya dan mengambil keputusan meletak jawatan daripada syarikat itu.

Malah, ketua itu mendakwa, amalan yang dilakukan setiap pagi itu adalah untuk membantu mewujudkan ikatan yang lebih erat antara pekerja dengan pengurus, selain mendakwa beberapa pekerja wanita begitu ‘merindui’ apabila terlepas sesi berkenaan sehingga ada yang menghantar mesej kepadanya melalui aplikasi WeChat.

Dakwa pengurus itu, beliau mendapat idea tersebut ketika melawat sebuah syarikat di Amerika Syarikat.

LEAVE A REPLY