nenekDi tangannya hanya ada RM10, namun demi cucu yang mengidamkan makan nasi lemak hari ini, dia rela menggunakan wang itu.

Lantas, dengan penuh semangat, Nor Azian Yusuf, 58, ketika ditemui Harian Metro mahu memastikan botol plastik dan tin aluminium yang dikutipnya dapat dijual supaya memperoleh wang bagi menggantikan RM10 itu untuk membeli barangan keperluan lain.

Begitu mendalamnya kasih dan sayang seorang nenek yang pada usia itu masih gigih mencari rezeki demi keluarga terutama enam cucunya dengan menolak troli sejauh sembilan kilometer setiap dua hari sekali bagi mencari botol plastik dan tin aluminium termasuk di tong sampah.

Menurut Nor Azian atau mesra disapa Umi, dia terpaksa mencari barangan yang boleh dikitar semula untuk dijual bagi membantu anak perempuannya yang juga ibu tunggal membiayai perbelanjaan anak dan cucunya.

“Saya mempunyai dua anak perempuan. Seorang daripadanya Orang Kurang Upaya (OKU), seorang lagi ibu tunggal dan saya ada enam cucu yang perlu dijaga. Jika hanya mengharapkan pendapatan anak perempuan yang ibu tunggal itu tidak mencukupi.

“Kos perbelanjaan susu anak OKU sudah RM350 sebulan, jika saya tidak cari botol atau tin bagaimana mahu makan dan beri cucu duit sekolah,” katanya.

Umi berkata, dia mencari barangan kitar semula dengan ditemani cucunya di sekitar Setapak dan Gombak.

“Cucu saya berusia antara 18 bulan hingga 10 tahun. Oleh itu, empat cucu yang sudah bersekolah akan bergilir-gilir temankan saya untuk mencari botol plastik dan tin aluminium.

“Bukan mudah untuk memenuhkan satu plastik sampah besar dengan barangan kitar semula itu kerana ia mengambil masa sehingga tiga ke empat hari. Apabila dijual, pendapatan yang saya dapat setiap minggu kira-kira RM40,” katanya.

Menurutnya, dia akan membawa tiga plastik sampah yang berisi barangan kitar semula itu untuk dijual di sekitar rumahnya di Jalan Semarak.

“Sekilo botol plastik dapat dijual dengan harga 60 sen manakala tin aluminium sekitar RM3.60. Alhamdulillah cukup untuk makan kami,” katanya.

Umi berkata, dia kecewa kerana cucunya pernah diejek berikutan pekerjaan yang dilakukannya itu.

“Saya sedih apabila orang hina cucu saya tetapi hanya nasihat yang mampu saya berikan.

“Saya selalu ingatkan kepada cucu, sampah orang adalah rezeki kita. Jangan sesekali berasa malu kerana ia rezeki halal. Kita bukan minta sedekah, tetapi usaha sendiri dengan kudrat yang ada,” katanya.

Menurut Umi, dia pernah melalui detik hitam apabila ada individu yang cuba mengambil kesempatan atas kesusahan keluarganya.

“Kawan lelaki kepada anak perempuan saya pernah memberhentikan cucu saya sekolah dan membawa enam cucu saya ke Kelantan sebelum merancang menjual mereka di sana.

“Mujur anak perempuan saya menyedari niat jahat itu dan kini lelaki itu sudah ditangkap polis pada kejadian Oktober lalu,” katanya.

Umi berkata, biarpun terpaksa bersusah payah, dia tetap akan berusaha untuk memberi keperluan yang mencukupi kepada cucunya seperti kanak-kanak lain.

“Selagi saya ada, saya akan berusaha mencari rezeki untuk anak dan cucu saya, namun jika saya sudah tiada, harap cucu saya dapat berdikari,” katanya.

LEAVE A REPLY