(VIDEO) Mekanik ‘Gila’ Dera Anak Tiri Sampai Separuh Mati

By | April 20, 2014

Seorang mekanik yang disyaki mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun, ditahan polis di rumah mereka di Taman Mas, Kapar, Klang, kelmarin.

Penahanan dibuat susulan laporan diterima polis dari seorang pengadu yang juga kenalan suspek.

Berdasarkan laporan terbabit, pengadu mendakwa melihat sebuah klip video di laman YouTube yang memaparkan penderaan dilakukan suspek ke atas mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Jani Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu pada jam 7 petang kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menyerbu rumah suspek dan menahannya kira-kira satu jam kemudian.

Menurutnya, ketika ditahan, mangsa berada di rumah tersebut.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan ibu mangsa yang juga isteri kedua suspek.

“Suspek berusia 32 tahun itu kita tahan reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Anak tirinya (mangsa) dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya, semalam.

Jani berkata, berdasarkan laporan hospital, terdapat banyak kesan luka lama dan baru ditemui pada seluruh badan mangsa.

“Kita percaya mangsa sudah lama didera oleh suspek, namun kesan luka baru menunjukkan ia dilakukan sejak dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kini masih dirawat di hospital terbabit dan perkara itu sudah dimaklumkan untuk pengawasan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, siasatan awal mendapati klip video yang menunjukkan penderaan terhadap mangsa dipercayai dirakamkan oleh isteri pertama suspek menggunakan telefon bimbit, sebelum dimuat naik ke YouTube.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya kini sedang menjejaki isteri pertama suspek bagi membantu siasatan.

Incoming search terms:

Author: Ali Wowberita

Ali merupakan salah seorang penulis di Wowberita.org. Mula menulis sejak 2011 sehingga sekarang. Seorang pemegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari UiTM Shah Alam.

Leave a Reply