Terbuka hati selepas memahami makna ayat Kursi dalam surah al-Baqarah (ayat 255), seorang pemuda buta nekad memeluk Islam.

Tan Mike Foong, 22, menceritakan saat-saat beliau melakukan penghijrahan besar dalam hidupnya selepas tiga bulan mengikuti kumpulan usrah dua tahun lalu.

“Brother Lim tanya saya. ‘Kamu percaya tidak Pencipta tiada imej, tidak mati, tidak perlu makan dan tidur?’,” ceritanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO baru-baru ini.

“Saya tersentak. Saya percaya Tuhan itu Esa.”

Ayat Kursi merupakan penjelasan lebih dua puluh sifat-sifat Allah, membuatkan anak sulung dari tiga beradik itu sebak dan bergenang air mata saat diberi hidayah mendalami makna dan manfaatnya.

Mike dan beberapa rakannya sering mengikuti Interaktif Dakwah Training (IDT) diasaskan Lim Jooi Soon atau dikenali sebagai Brother Lim.

Tertarik dengan laungan azan dan ayat suci al-Quran di televisyen sejak kecil, Mike akui banyak terdedah dengan aktiviti berkaitan Islam di sekolah malah mengikuti kelas pendidikan Islam.

“Saya selalu terdedah dengan tazkirah dan ceramah-ceramah. Kita tahu sedikit sebanyak mengenai Islam.

“Saya selalu dengar dalam Islam buat itu dosa, ini haram. Jadi bila cikgu dengar kami sembang satu hari dia kata, kalau hendak ke surau bolehlah ke surau.

“Satu ayat sahaja (saya jawab), apa salahnya,” katanya.

Memeluk Islam pada 11 Jun 2015, Mike masih berasa kerdil dan mahu terus mendalami Islam.

Berhasrat menjadi pendakwah, penghuni Persatuan Orang Buta Malaysia Brickfields di sini bakal menyertai IDT untuk menjadi pelapis dan sukarelawan.

“Saya ibarat baru lahir [sebagai Islam]. Kini baru berusia dua tahun. Tetapi selepas tamat belajar di sini saya akan sertai Brother Lim. Insya Allah,” katanya.

Kekurangan penglihatan juga tidak menghalang Mike apabila dinobatkan juara hafazan muallaf peringkat negeri Melaka awal bulan lalu.

Melalui al-Quran Braille, Mike menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari membaca al-Quran dan kini beliau sudah menghafal lebih 80 surah.

“Tips untuk menghafal adalah saya perlu menyebut ayat sekurang-kurangnya tiga kali. Selagi tidak hafal jangan berganjak ke ayat seterusnya.

“Dan yang penting sekiranya kita memahami terjemahan lebih bagus. Seperti saya selepas baca terjemahan, sudah pasti saya akan merujuk kepada tuan guru,” katanya.

Mike menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari membaca al-Quran Braille.

LEAVE A REPLY