Netizen sekali lagi dikejutkan dengan viralnya inforgrafik yang mendakwa bahawa maklumat kad debit yang mempunyai fungsi ‘Paywave’ mudah dicuri tanpa pengetahuan pemiliknya.

Menurut sumber, aplikasi tersebut mudah didapati di Playstore (Android) atau App Store (iOS). Namun sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut?

Sebelum itu, infografik tersebut menegaskan bahawa penjenayah boleh menggunakan aplikasi tersebut dengan hanya mendekatkan telefon pintar dengan kad bank pada jarak 1-5 meter.

“Alat pembaca gelombang radio boleh menyimpan transaksi sekitar RM300 sehingga RM1,500 tanpa memerlukan internet. Data kad bank yang diperolehi dari mangsa akan digunakan untuk aktiviti pemalsuan kad bank dan transaksi tanpa kebenaran,” kata sumber.

Bagi mengelakkan maklumat kad debit dicuri, netizen disarankan membeli sarung kad anti gelombang radio yang boleh didapati di pasaran dengan harga RM10-RM30 setiap satu atau membalut kad dengan kertas aluminium bagi mengelakkan gelombang radio berkenaan terpancar.

Aplikasi yang didakwa mampu mengimbas maklumat penting dalam kad debit.

Sekali lagi, benarkah dakwaan itu?

Lapor Amanz, tidak dinafikan aplikasi itu boleh mengimbas kad debit dan mendapatkan maklumat di dalamnya seperti:

  • Nombor kad debit/kredit
  • Tarikh luput kad
  • Transaksi terkini (tempoh dua minggu)
  • Log yang dipenuhi dengan kod unik

Meskipun aplikasi tersebut mampu mendapatkan maklumat nombor kad debit dan tarikh luputnya, harus diingatkan bahawa, setiap pembayaran online memerlukan tiga maklumat penting iaitu nombor kad debit/kredit, tarikh luput kad dan nombor CVV yang tertera di belakang kad.

Aplikasi tersebut tidak mampu memperolehi nombor CVV dan masih ada kemungkinan untuk diteka di bawah 999 kali. Tetapi umum tahu percubaan memasukkan nombor CCV sebanyak 3 atau 5 kali hanya akan menyebabkan kad debit/kredit disekat dan anda perlu menghubungi pihak bank untuk membatalkan sekatan itu.

Selain itu, aplikasi tersebut memerlukan penggunanya meletakkan kad betul-betul di belakang telefon bagi mendapatkan maklumat kad tersebut, sekali gus menafikan dakwaan kononnya penjenayah boleh mencuri maklumat kad debit/kredit dalam jarak 1-5 meter.

Selain itu juga, kebanyakan transaksi pembayaran online juga memerlukan penggunanya memasukkan kod yang dihantar ke telefon sebelum mengesahkan suatu transaksi.

Setiap transaksi juga akan dimaklumkan melalui SMS dan jika kad debit digunakan diluar pengetahuan, pengguna boleh segera menghubungi pihak bank bagi memaklumkan perkara tersebut.

Penjelasan dari Amanz sudah cukup membukti bahawa kad debit (paywave) yang dimiliki oleh semua pengguna adalah selamat. Jadi, usah percaya akan penyebaran informasi yang tidak sahih. Melainkan anda telah mencubanya sendiri.

LEAVE A REPLY