Jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Supian Ahmad, cedera di muka dan tangan selepas diserang penyokong bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tamat perlawanan bola sepak saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Selain cedera, kamera jenis Canon 1DX yang digunakan oleh mangsa sewaktu bertugas dianggarkan bernilai lebih RM30,000 turut hilang dicuri penyokong pasukan terbabit.

Ketika kejadian, penyokong JDT diarahkan oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis untuk masuk ke tengah padang selepas tercetus pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan sebelum itu.

Menurut Supian, 36, segelintir penyokong JDT bertindak menyerbu ke arah jurukamera yang berada di belakang pintu gol.

“Pada mulanya, seorang daripada mereka menarik saya sehingga jatuh dan memukul bahagian muka sebelum memijak belakang leher.

“Saya tidak sempat untuk mengelak serangannya.

“Ketika itu, saya menyedari kamera dan lensa sudah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi.

Insiden itu menyebabkan kedua-dua mata dan leher Supian bengkak.

Supian berkata, dia mengesyaki penyokong yang menyerangnya itu berada dalam pengaruh alkohol berikutan bau daripada mulut salah seorang daripada mereka yang menyerangnya.

LEAVE A REPLY