Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di depan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bharu di Kelantan kerana mengeluarkan kenyataan jelik kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu rakaman video.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan dengan penyebaran video menerusi Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan perkataan jelik pada Tunku Ismail pada jam 1.25 petang semalam.

Katanya, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, suspek yang dipercayai terbabit dengan video itu ditahan pada jam 3.50 petang tadi.

“Hasil daripada penahanan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit Ex Mobile bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY