Pelakon dan pengacara, Hefny Sahad, 28, mengakui Uqasha Senrose adalah wanita paling rapat dengannya ketika ini.

Enggan menjelaskan status perhubungan mereka, Hefny bagaimanapun berkata, beliau dan pelakon wanita itu masih dalam tempoh fasa mengenali hati budi masing-masing.

“Kami dalam fasa saling mengenali. Sekarang ini, Uqasha ialah wanita yang paling rapat dengan saya. Bagaimanapun, saya tak nak cakap lebih kerana menghormati beliau.

“Saya juga tidak mahu nanti masyarakat menganggap kami cuma mencari publisiti. Kalau boleh, biarlah orang lebih nampak hasil kerja kami dalam industri seni,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, Uqasha dilihat sering meninggalkan komen berbaur cemburu apabila Hefny memuat naik gambar dengan wanita lain, sehingga ada yang menyangka kedua-dua mereka sedang bercinta.

Bagaimanapun, Uqasha menegaskan, mereka masih lagi dalam fasa berkawan.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikan yang ada pada Uqasha, 24, sehingga membuatkannya rapat dengan wanita itu, kata Hefny, beliau suka melihat aktres itu yang bersikap pelindung, lebih-lebih lagi dalam menjaga adik dan anak saudaranya.

“Saya melihat dirinya sebagai seorang pelindung dan perbuatannya nampak ikhlas, seperti seorang ibu menjaga anak-anaknya.

“Saya juga ada ‘deria keenam’ yang mampu melihat Uqasha sebagai wanita dengan ciri-ciri yang boleh dijadikan sebagai isteri,” katanya dalam nada bergurau.

Kata pemuda ini juga, sudah tentu beliau akan berkongsi dengan umum sekiranya ada berita baik membabitkan mereka berdua.

LEAVE A REPLY