KUALA LUMPUR – UMNO telah memulakan proses penstrukturan semula dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi ‘membangkitkan’ semula parti itu selepas mengalami kekecewaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan tersebut dilakukan bagi memulihkan parti dan terus menjadikan UMNO sebagai satu kuasa politik yang masih berpengaruh di negara ini.

“Kita terima kekalahan ini. Kita perlu mengorak masa depan, tidak boleh toleh ke belakang. Kita mahu UMNO bangkit bersama rakan-rakan di dalam Barisan Nasional kerana kita sedang mengalami ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Zahid, mesyuarat UMNO peringkat bahagian akan diadakan bermula pada bulan Ramadan ini.

“Saya tahu rakan-rakan di akar umbi masih bersedih serta berhadapan masalah tetapi kita perlu ada kekuatan walaupun tak ada kerajaan,” katanya. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.