Kelana Jaya – Pertembungan satu lawan satu akan dapat disaksikan bagi perebutan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila dua calon sah bertanding bagi merebut ‘kerusi panas’ itu pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini.

Dua calon terbabit adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Dua calon lagi iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat sah menarik diri.

Perkembangan terbabit diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di sini, sebentar tadi. Hamidin berkata, empat calon bagi Timbalan Presiden turut mengesahkan bakal bertanding, namun beliau enggan mendedahkan empat individu terbabit.

“Semua calon yang sah bertanding akan diteliti terlebih dulu dalam Mesyuarat EXCO yang akan diadakan 20 Februari ini.

“Selepas itu kita akan memuktamadkan senarai penuh calon yang sah bertanding dan calon masih boleh menarik diri sebelum tarikh kongres berlangsung,” katanya.

Pada masa sama, sembilan calon bakal bertanding bagi jawatan Naib Presiden dan 17 calon merebut jawatan EXCO FAM.

Saingan sengit bagi jawatan EXCO Wanita pula menyaksikan semua tujuh individu yang dicalonkan sedia bertanding pada kongres terbabit.

LEAVE A REPLY