KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Datuk Norul Iman A. Rahman atau dikenali sebagai Boy Iman, 38, enggan mengulas lanjut tentang kontroversi apabila perkongsian mengenai status pendidikannya peringkat Doktor Falsafah (PhD) di laman sosial dinafikan pihak Universiti Malaya (UM).

Ketika dihubungi Utusan Online hari ini, Boy Iman berkata, dia meluahkan rasa hairan kerana sering menjadi sasaran netizen, malah tertanya-tanya kesalahannya terhadap komuniti sehingga teruk dikecam.

“Saya rasa dah macam Raja Viral. Semua yang saya lakukan akan menjadi perbualan banyak pihak. Serba salah jadinya.

“Biarlah masa menentukan. Tunggu sahaja hari konvokesyen berlangsung kelak,” komennya ringkas.

Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UM hari ini, pihak universiti tersebut telah membuat semakan menafikan bahawa terdapat nama Boy Iman didaftarkan sebagai calon ijazah berkenaan.

“Pihak UM ingin menarik perhatian berhubung status pendaftaran calon Doktor Falsafah Noruliman A. Rahman dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (secara penyelidikan).

“Selepas semakan dibuat, tiada pendaftaran atas nama individu ini sebagai calon Doktor Falsafah di UM,” memetik kenyataan itu.

Sebelum ini Boy Iman menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik foto memaparkan kad pelajar yang tercatat namanya dengan logo Universiti Malaya bersama tesis penyelidikan universiti itu. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here