Tiga Maut Tercampak Kemalangan Myvi di Jertih | Blog Berita Online

Tiga Maut Tercampak Kemalangan Myvi di Jertih

February 27th, 2012 0 Comments Dalam Negeri, Tragedi & Bencana

kemalangan myvi jertih

Tiga lelaki termasuk dua beradik maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 1, Jalan Jertih-Pasir Puteh, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, Nik Muhammad Firdaus Suhaimi @Rahmat, 24, dan adiknya Nik Muhamad Faris, 19, serta rakan mereka seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Nazir Nazemi, 20, maut.

Pemandu kereta, Wan Muhamad Shafiq Md Zin, 20, pula cedera parah sementara penumpang yang duduk di kerusi hadapan kereta Perodua Myvi itu, Mohd Fakhrulhanif Zainuddin, 26, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua beradik yang maut pula berasal dari Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, mengusahakan kedai runcit di pekan Kuala Besut dan dua lagi juga dari Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, semua mangsa yang terbunuh duduk di kerusi penumpang belakang.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila dipercayai kereta yang dipandu Nik Muhammad hilang kawalan sebaik melepasi persimpa­ngan­ lampu isyarat Kampung Seberang Jerteh-Kuala Besut, menyebabkan kereta terbabas lalu melanggar papan tanda di situ sebelum berpusing beberapa kali.

“Pelanggaran itu mengakibatkan empat daripada mereka, kecuali Mohd Fakhrulhanif, tercampak keluar menerusi tingkap kereta terbabit,” katanya mengenai kemalangan yang berlaku di depan Balai Polis Jertih itu.

Kamaruddin berkata, dua daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Nik Muhamad Faris meninggal dunia di Hospital Besut ketika menerima rawatan.

Katanya, salah satu tayar depan kereta turut tercabut dan terpelanting ke dalam pagar Balai Polis Jertih.

Semua mayat mangsa dituntut keluarga masing-masing kira-kira jam 10 pagi semalam.

‘Ketuk pintu syurga dahulu’

Kamaruddin berkata, kemalangan itu mungkin disebabkan jalan tidak rata dan berpasir, tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan berkenaan dipandu laju.

Difahamkan, beberapa minit sebelum kejadian, lima anak muda ini sempat singgah menjamu selera di sebuah kedai makan di Kampung Padang Luas selepas berkunjung ke rumah rakan mereka di Jalan Padang Tapong tidak jauh dari situ.

Menurut Mohd Fakhrulhanif, dalam kenderaan, mereka yang kesemuanya masih bujang mengambil kesempatan berbual panjang dengan Nazir yang bertugas di Pangkalan TUDM Sungai Besi yang pulang bercuti di kampung.

Katanya, ketika menjamu selera di kedai sebelum itu, dia sudah dapat merasakan beberapa perubahan berlaku kepada dua rakannya dan paling ketara wajah rakannya, Nazir kelihatan pucat.

“Saya bertanya dia (Nazir) mengapa wajahnya pucat dan Nazir hanya memberikan alasan mungkin dia kepenatan,” katanya.

Mohd Fakhrulhanif berkata, selepas minum kira-kira jam 3.45 pagi, dia membayar harga minuman dan makanan tetapi Nik Muhamad Firdaus kurang berpuas hati dengan kadar bayaran yang dikatakan agak mahal di situ.

“Dalam nada berjenaka dia berkata kepada kami yang dia tidak halalkan bayaran yang lebih dikenakan peniaga terbabit dan jika ingin mohon maaf, peniaga itu perlu ketuk pintu syurga dahulu kerana dia berada di sana, namun kami tidak mengendahkan kata-katanya itu dan meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke arah Jertih iaitu melepasi lampu isyarat berdekatan Masjid Kayu (Masjid Ulul Albab Seberang Jertih), kereta kami secara tiba-tiba tidak dapat dikawal, berkemungkinan besar kerana keadaan jalan yang tidak rata dan berpasir,” katanya.

Bergelimpangan atas jalan

MOHD Fakhrulhanif berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan dia sendiri tergamam serta tidak mampu berbuat apa-apa.

“Dalam fikiran saya hanya memikirkan nyawa akan melayang kerana selepas hilang kawalan, kereta kami terbabas dan melanggar papan tanda, sebelum ia berpusing-pusing beberapa kali kira-kira 50 meter dari simpang berkenaan.

“Saya hanya menyedari empat rakan tiada selepas kereta berhenti dan paling mengejutkan, kesemuanya tercampak keluar dari kereta serta bergelimpangan di atas jalan termasuk pemandu,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas mendapatkan rakannya tetapi kesemuanya sudah tidak sedarkan diri kecuali pemandu, Wan Muhammad Syafiq.

“Saya cuba mengajar mereka mengucap tetapi hanya Wan Muhammad Syafiq memberi reaksi,” katanya.

Tunggu abang pulang, tapi hanya sambut jenazah

“Abang saya sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pagi ini (semalam) untuk bertugas semula di Pangkalan TUDM Sungai Besi selepas pulang bercuti Jumaat lepas.

“Namun, malangnya dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia kira-kira lima jam sebelum dia dijadualkan naik bas ekspress di Kuala Besut jam 9 pagi semalam,” kata adik Nazir, Nurul Asyikin, 18.

Kata Nurul Asyikin, abangnya baru memulakan perkhidmatan sebagai anggota TUDM dengan pangkat Laskar Udara di pangkalan tersebut sebaik tamat latihan.

“Dia anak kelima daripada tujuh beradik dan saya sangat rapat dengannya. Ibu saya, Shamsiah Mat, 47, ada menghubungi abang saya kira-kira jam 3 pagi sebelum kejadian kerana ingin bertanya mengapa dia lewat pulang dan abang sempat memberitahu dia akan sampai sebentar lagi.

“Namun, bukan kepulangannya yang kami terima tetapi berita mengenai kematiannya,” katanya yang masih sugul dengan pemergian abangnya buat selama-lamanya.

Incoming search terms:

Sign up free email newsletter

Stay Updates with this Blog. Get Free email newsletter updates, Enter your Email here:

Don't forget to confirm your email subcription

Leave a Reply to this Post