Tiga lelaki termasuk dua pemandu maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Masai Lama, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, pemandu Toyota Avanza, Hamidi Mohd. Nor, 50, dan pemandu Perodua Myvi, M. Viswanaath, 26, serta penumpang, G. Premkumar, 19, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aziz berkata, dua lagi penumpang Perodua Myvi yang cedera parah ialah M. Sargunam, 18, dan K. Stevenraj, 26, dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, penumpang Toyota Avanza, Miskiah Satar, 44, Nurhaziqah Hamidi, 12, dan Mohd. Hafiz Hamidi, 17, yang tidak mengalami kecederaan serius turut dirawat di hospital sama.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Viswanaath memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Avanza berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

LEAVE A REPLY