Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi lebuhraya di Kilometer 200.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan Gunung Semanggol, Taiping semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting Taufiq Abdul Satar berkata Nur Fazlina Fazil, 25, yang dibawa ke Hospital Taiping meninggal dunia pada 10 malam tadi manakala suaminya, Muhammad Hisyamuddin Yunus, 25, cedera ringan.

“Difahamkan pasangan itu berasal dari Ipoh dan baru sahaja berkahwin pada Sabtu lalu dalam perjalanan pulang ke Kulim, Kedah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.04 petang dan sepasukan anggota balai berkenaan telah bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika sampai ke tempat kejadian anggota bomba mendapati penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan yang terhumban ke tepi longkang di lebuhraya itu manakala pemandu kereta itu cedera ringan.

“Anggota bomba bertindak memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera parah dan membawa mangsa itu dengan jentera bomba ke Hospital Taiping,” katanya.

Taufiq berkata anggota bomba menemui wang tunai RM8,000 milik mangsa di dalam kereta dan menyerahkan kepada polis.

LEAVE A REPLY