KAMPUNG GAJAH: Jenazah tiga beradik yang mati ditetak di rumah mereka di sebuah kampung di Bagan Datuk, selamat disemadikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, dekat sini, malam ini.

Jenazah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2; abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, tiba di tanah perkuburan Islam, di sini, pada jam 9.10 malam.

Kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga dan penduduk kampung hadir pada majlis pengebumian itu.

Kelihatan beberapa ahli keluarga yang diberi peluang melihat jenazah tiga beradik itu tidak dapat menahan sebak sambil melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ dan ditenangkan ahli keluarga lain.

Terdahulu, jenazah tiga beradik itu selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kira-kira jam 6.30 petang. Jenazah kemudian dimandi, dikafan dan disembahyangkan di hospital berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, tiga-tiga beradik berkenaan maut di tempat kejadian akibat ditetak seorang lelaki yang juga rakan kepada bapa mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad.

Ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Kakak tiga beradik itu, Nur Zuryn Faziera, 9 dan rakannya serta seorang guru agama cedera akibat ditetak.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.