BUTIK tudung jenama terkemuka di Seremban diberi amaran semalam berikutan menawarkan harga sama sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, Zubir Hamsa berkata, pihaknya menerima aduan selepas resit pembelian tudung itu tular di media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mendapati tudung yang dibeli pelanggan dengan harga RM50 pada 31 Mei lalu adalah sama dengan pembelian pada Sabtu lalu sedangkan harga sepatutnya RM47.

“Dengan itu, kita menghantar pegawai penguat kuasa untuk pemeriksaan namun mendapati semua harga jenis tudung itu sudah diperbetulkan.

“Mereka mendakwa masalah itu timbul berpunca daripada sistem pembayaran premis itu yang menghadapi gangguan sebelum pulih semalam.

“Peniaga itu juga akan mengembalikan semula wang lebihan bayaran pelanggan berkenaan menerusi rekod transaksi jualan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis dan pemeriksaan berkala akan dijalankan.

“Jika terdapat kes berulang notis akan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ada maklumat mengenai peniaga tidak mematuhi undang-undang dengan pengurangan kadar GST boleh menyalurkannya menerusi talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) 03-8000 8000.

Maklumat turut boleh disalurkan melalui talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800 atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip “KPDNKK ADUAN ” ke 15888.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.