Segamat – Salah seorang daripada dua penyamun menunjukkan sikap ‘hati mulia’ apabila sempat mengurut kaki mangsa wanita warga emas yang mengalami gangguan urat saraf sejurus dirompak di taman perumahan di sekitar Jalan Pekan Air Panas, Labis, di sini.

Mangsa Wong Lee Chi, 76, berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, dia yang tinggal bersendirian di kediamannya didatangi dua lelaki tidak dikenali menceroboh masuk ruang tamu kediamannya.

“Sebaik memasuki rumah, dua penjenayah itu mendapati saya duduk di kerusi sambil menonton televisyen.

“Saya sempat memberitahu tidak dapat berjalan secara normal berikutan kedua-dua kaki dan tangan mengalami gangguan saraf akibat penyakit Parkinson,” katanya.

Katanya, kedua-dua penjenayah berbincang lima minit untuk meneruskan niat mereka atau pulang dengan tangan kosong.

Katanya, penjenayah kemudian sepakat meneruskan niat mereka dengan alasan datang tanpa membawa senjata.

“Kedua-dua lelaki itu mengusung saya bersama kerusi diduduki ke dapur sementara seorang lagi yang berbadan sasa memecahkan mangga pintu jeriji bilik tidur.

“Mereka menggeledah bilik tidur suami saya yang turut dihuni tiga cucu,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu meminta nombor telefon bimbit milik suaminya berusia 70-an yang ketika itu keluar membawa cucu ke bandar membeli barangan keperluan.

Katanya, seorang lagi penjenayah menutup mulutnya menggunakan tapak tangan menyebabkan dia sesak nafas dan kebas kaki.

“Bagaimanapun penjenayah terbabit jatuh simpati sebelum mengurut bahagian paha kanan saya selama beberapa minit sambil wajahnya kelihatan sayu.

“Dia mendakwa tidak sanggup melihat wajah saya kerana terkenangkan raut wajah ibunya,” katanya.

Katanya, lelaki itu turut meminta maaf dan mendakwa terpaksa merompak kerana mempunyai hutang keliling pinggang.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu melarikan diri 20 minit kemudian.

“Suami dan cucu yang pulang ke rumah tidak lama kemudian membuat laporan polis selepas mendapati duit ang pau dan pelbagai barangan berharga dicuri termasuk telefon bimbit dan tiga utas jam tangan berjenama bernilai RM5,000 dilarikan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pihaknya giat mengesan kedua-dua suspek itu.

Katanya, orang ramai diminta menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 atau nombor 07-9251222 Balai Polis Labis untuk menyalurkan maklumat.

LEAVE A REPLY