Seorang suami mengajak isterinya makan seperti biasa.

“Jom sayang, kita pergi makan di satu tempat ini. Sedap sangat, makanan dan tempatnya sangat istimewa,” pelawa si suami.

Isterinya terdiam seketika dan tiba-tiba berkata, “Saya sebenarnya lebih rela kalau abang ajak seorang wanita lain untuk makan berdua dengan abang,”

Terkejut suaminya mendengar kata-kata si isteri, lalu bertanya siapakah wanita yang dimaksudkannya itu.

“Ajaklah mak abang. Abang dah terlalu lama tak luangkan masa berbual dan makan dengan mak abang. Saya pula sudah selalu dilayan abang setiap hari tanpa pernah terlupa. Abang pergilah layan mak abang pula,” pujuk si isteri.

Suaminya terkejut dan bercampur sedih serta terharu. Lalu dia menelefon ibunya dan mengajak ibunya pergi ke tempat makan yang dikatakan pada isterinya tadi.

Ibunya terkejut menerima pelawaan dari si anak, tetapi dia gembira. Ibunya mahukan kepastian, apakah benar hanya mereka berdua sahaja? Si anak pun mengiakan.

Dia pun membawa ibunya makan bersama-sama di tempat romantik dan istimewa itu. Mereka berbual panjang, ibunya tersenyum puas dan sangat gembira kerana dapat makan serta berbual panjang dengan anaknya.

“Okey ke mak? Mak seronok ke?” soal si anak.

“Ya nak, susah-susah saja bawa mak ke sini. Tetapi seronok dapat berbual dengan kamu. Nanti bawa ibu lagi ye? Nanti mak pula yang akan belanja,” balas ibunya.

Selesai makan, mereka pun pulang.

Si anak terlalu sibuk dengan kerjayanya, sibuk dengan isteri dan anak-anak setiap hari sehingga tidak sempat meluangkan masa untuk menelefon ibunya yang keseorangan. Nak berjumpa, amat jarang sekali.

Satu hari, dalam kesibukan bekerja, dia terkejut apabila mendapat tahu ibunya sakit tenat. Apa lagi, dia kelam kabut meninggalkan kerjanya kerana dia masih sayangkan ibunya. Namun, apabila tiba di hospital, ibunya telah meninggal dunia. Dia sangat sedih dan menyesal kerana telah mengabaikan ibunya selama ini.

Tidak beberapa lama kemudian, dia mendapat kad jemputan dari restoran yang pernah dia membawa ibunya menjamu selera dulu. Tertera nama dia dan isterinya pada kad itu yang kosnya sudah dibayar. Tanpa mengesyaki apa-apa, mereka menerima dan makan seperti biasa.

Semasa mereka sedang menikmati makanan, si suami menerima sekeping nota daripada kakitangan restoran berkenaan. Rupa-rupanya tempahan itu dibuat oleh arwah ibunya.

“Terima kasih nak, sebab menggembirakan mak. Walaupun hanya sekali kamu luangkan masa bersama mak. Mak nak balas dan tunaikan janji mak. Mak dah tempah khas buat kamu dan isteri kamu. Selamat bergembira wahai anakku,” tulis mak dalam nota kecil itu.

Pasangan itu menangis teresak-esak. Itulah mak. Ya Allah, tidak terbayar pengorbanan ibu.

Tak perlu layan ibu setiap hari tetapi sekurang-kurangnya buatlah sesuatu dan gembirakanlah hati ibu sebelum dia pergi seperti mendoakannya setiap malam dan menangislah pada Allah memohon kebaikan buat mak.

Kadang-kadang ada orang berasa hebat, baru saja beri sedikit sumbangan pada ibu, dah rasa memadai. Sebenarnya kita belum buat baik pada mak. Kita cuma baru nak balas jasa mak. Itu pun tak terbalas sampai bila-bila.

  • Mak tumpangkan kita dalam rahimnya selama 9 bulan
  • Mak bersabung nyawa nak bagi kita melihat dunia ini
  • Mak bagi kita pergi tadika, sekolah rendah, menengah, universiti
  • Mak bagi kita bekerja
  • Mak bagi kita berkahwin
  • Mak bagi kita ada anak
  • Bukan nak bagi kita lupakan dia.
  • Mak mandikan kita dari saat kita baru lahir sehingga enam tahun.
  • Mak tukarkan pampers/lampin dari baru lahir sehingga tiga tahun
  • Mak menyusukan kita sehingga dua tahun
  • Mak siapkan makan minum paling kurang 17 tahun
  • Mak basuh baju dan gosok pakaian kita selama 17 tahun
  • Mak dukung kita tiga tahun
  • Mak cuci najis, lima tahun
  • Mak berdoa untuk kita selagi mak bernyawa
  • Mak sayang kita sampai ke akhirat, tiada kesudahan
  • Kita pula sayang mak macam mana?

Jadilah anak soleh wahai anak-anak yang masih ada mak. Ini bukan pilihan tetapi perintah Allah SWT, perintah Rasulullah SAW yang wajib dan teramat besar tuntutannya.

Oleh itu, hargai dan sayangilah mak. Minta maaf pada mak kalau ada buat silap. Buat baik pada mak pada bila-bila masa sahaja. Cakap elok-elok dengan mak meskipun kita sudah dewasa + makan banyak garam. Jagalah hati mak, berbuallah dengan mak dan hubungilah mak selalu walau sibuk mana pun kita.

Di musim cuti sekolah ini, utamakanlah kita bawa anak-anak pulang ke kampung, sebelum kita pergi bercuti bersama isteri dan anak-anak kita. Sementara mereka masih ada. – Facebook

LEAVE A REPLY