Bekas menteri Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas peruntukan tahunan RM100,000 kepada anggota parlimen pembangkang.

Beliau bagaimanapun lebih suka jika kerajaan tidak berbuat demikian, tetapi menggunakan wang itu terus ke kawasan parlimen pembangkang.

Justeru beliau tidak perlu “pening kepala” untuk menguruskan peruntukan itu, kata anggota parlimen Padang Rengas itu.

“Saya gembira dengan peruntukan itu. Jika jumlahnya kurang, ia dapat difahami kerana mereka perlu utamakan kerusi mereka.

“Malah saya lebih gembira jika mereka menggunakan seluruh jumlah itu di kawasan pembangkang berbanding memberikannya kepada anggota parlimen. Ia lebih lancar dan tidak akan ada isu berbangkit kemudian.

“Apa yang penting rakyat dapat wang itu, tak penting siapa yang memberikannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata menjaga kawasan pembangkang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan.

“Apa-apa pun, terima kasih kepada kabinet kerana bermurah hati dan saya harap mereka dapat menimbang pandangan saya ini. Ia akan memudahkan kerja saya sebagai MP,” katanya.

Beliau juga berkata akan melanjutkan semua permohonan di kawasannya kepada wakil PH.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM500,000 kepada kerusi parlimen yang dimenangi PH dan RM100,000 kepada kawasan BN.

Beliau juga berkata RM200,000 akan diberikan kepada pusat khidmat Parlimen tetapi tidak jelas adakah ia juga termasuk wakil rakyat pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.