Telinga kakak penyanyi Adira hampir putus dalam satu serangan di rumahnya di sebuah kondominium di sini tengah malam tadi.

Namun ia bukan angkara perompak seperti disebarkan melalui media sosial tetapi masalah dengan teman lelaki, kata polis seperti dilaporkan Berita Harian petang ini.

Emma Suhaimi, 27, bekas peserta Akademi Fantasia yang kini bertugas sebagai DJ radio, juga dilaporkan cedera di bahagian belakang kepala, telinga, hidung dan pipi.

“Pembedahan menyambung telinganya berjalan lancar. Emma kini dalam keadaan stabil, namun masih trauma,” kata rakan wanita ini Keroz Nazri seperti dilaporkan.

Dalam kejadian itu, di Universiti Utama Condominium (UUC), rakan serumahnya turut cedera di tangan dan bahagian mata.

Kakak Emma, Ayu Suhaimi, 28, berkata kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam ketika adiknya bersama rakan serumah nyenyak tidur.

“Emma dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II di sini untuk rawatan lanjut, manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya. “Emma mungkin dibenarkan pulang petang ini.”

Ketua polis Kota Kinabalu menafikan dua mangsa cedera akibat disamun seperti diviralkan.

“Siasatan mendapati ini bukan kes samun, sebaliknya kejadian berpunca daripada masalah peribadi dipercayai antara seorang mangsa dengan bekas teman lelakinya dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” kata ACP M Chandra.

“Tiada barang hilang dari tempat kejadian atau milik mangsa. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan benda berbahaya.”

Laporan itu bagaimanapun tidak menjelaskan lelaki itu bekas kekasih Emma atau teman serumahnya. Ia juga tidak menyatakan masalah yang menimbulkan serangan tersebut.

LEAVE A REPLY