“SAYA tak mahu masuk penjara. Saya sudah tua, ada penyakit jantung, sakit pinggang, kencing manis dan darah tinggi,” kata Cheok See Lew, 78, yang mengaku bersalah mengendalikan pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Warga emas itu turut merayu Majistret Siti Khairiah Abdul Razak mengurangkan hukuman selepas mengaku bersalah apabila satu pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan, tanpa lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) 2011.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pantai di Port Dickson, jam 4 petang, pada 6 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 Undang-Undang Kecil yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Khairiah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM800 kepada tertuduh atau penjara selama dua bulan, jika dia gagal membayarnya.

Tertuduh yang kelihatan terpinga-pinga sebaik mendengar keputusan itu, diberikan penjelasan lanjut oleh Siti Khairiah dan jurubahasa mahkamah bagi memastikan dia memahami hukuman dikenakan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh berada di premis berkenaan ketika polis mengadakan serbuan berkaitan aktiviti pelacuran pada tarikh dan masa yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.