Sering diasak kontroversi, nama Fathia Latiff memang sentiasa panas menjadi bualan ramai.

Bukan tidak pernah mencuba untuk berubah, namun pelakon ini mengakui yang jiwanya tidak tenteram kerana terpkasa hidup dalam kepura-puraan.

Selepas isu Bogo Live, Fathia muncul pula merokok secara live di Instagram bersama rakan baiknya, Zarina Anjoulie.

“Saya terbeban membawa status selebriti, malah nama Fathia Latiff itu seperti menyekat kehendak dan kemahuan diri. Saya tahu, orang luar mahu saya berubah menjadi baik, tetapi mereka lupa saya juga manusia biasa.

“Saya pernah cuba berubah, tetapi perasaan saya tidak tenteram apabila terpaksa bersikap hipokrit. Saya tidak mampu hidup berpura-pura. Penat rasanya hidup dalam penipuan.

“Hari ini, saya tidak mahu mempedulikan lagi cemuhan netizen. Selama mana mereka mahu mengutuk dan mencaci saya, silakan!” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, dia tidak mahu hidup sengsara semata-mata mengikut telunjuk orang lain.

“Terimalah saya seadanya. Saya sanggup membuang gelaran selebriti dan meninggalkan dunia seni sekiranya ia membebankan jiwa. Saya tidak minta menjadi popular, cuma rezeki memihak kepada saya.”

Fathia juga mengakui dia adalah seorang perokok dan tidak mahu berselindung siapa dirinya yang sebenar.

“Saya tidak malu mengakui, saya seorang perokok. Keluarga juga tahu saya merokok, malah sering menasihatkan saya supaya membuang tabiat buruk itu.

“Buat masa ini, saya masih belum mampu meninggalkan tabiat itu sepenuhnya, tetapi sedang berusaha mengurangkannya. Biarlah saya berhenti secara perlahan-lahan.

“Sebelum ini, apabila saya cuba berselindung, saya menjadi semakin memberontak. Saya tidak kisah jika ada yang anggap saya bukan gadis baik, asalkan saya tahu batasan hidup.

“Saya tidak mahu hidup saya diadili dan dikawal masyarakat. Saya hanya mahu menjadi manusia biasa dan melakukan apa yang menyenangkan hati.”

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.