Berita Utama

Syed Saddiq tidak setuju Dr Ilyani dikenakan tindakan

By Faizul Lazim

August 13, 2018

KUALA LUMPUR – Pegawai perubatan, Dr. Ilyani Muhamad Nawawi yang mengkritik aktivis Datin Paduka Marina Mahathir berhubung isu LGBT tidak harus dihukum.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebarang tindakan yang dikenakan kepada pegawai perubatan berkenaan akan menunjukkan hak kebebasan bersuara disekat di Malaysia.

“Kalau ada tindakan displin dikenakan kepada Dr. Ilyani, saya sendiri akan bersuara dan menentangnya kerana beliau berhak untuk memberi pandangannya dan itu adalah pandangan peribadi beliau.

“Kalau ada tindakan diambil ke atas beliau, maknanya kita sedang menyekat pandangannya.

“Saya rasa setiap pihak berhak memberi pandangannya. Saya sama sekali tidak bersetuju sekiranya tindakan displin diambil ke atas beliau,” tegasnya semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Malaysia di sini hari ini.

Dr. Ilyani Muhamad Nawawi

Pada 6 Ogos lalu, Dr. Ilyani yang berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab II telah menulis surat terbuka kepada Marina yang dan dimuat naik di laman Facebooknya.

Surat tersebut dikongsi oleh ribuan pengguna Facebook dan salinannya turut dikongsi di platform-platform lain telah mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak.-MalaysiaGazette