Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama melarikan pelajar tingkatan tiga, Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, di Ban­dar Tun Hussein Onn pada Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Blok A, Taman Koperasi Maju Jaya, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki tersebut turut mendapati suspek terlibat dalam kes samun di Batu 9 di sini Sabtu lalu.

Ujarnya, turut ditemukan sebilah parang berukuran 55 sentime­ter, topi keledar, sebuah motosi­kal, serangkai anak kunci dan satu beg sandang milik suspek yang mengandungi satu kad pengenalan dan sebuah telefon bimbit milik mang­sa samun.

“Hasil soal siasat suspek, kita seterusnya menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia hari ini di sebuah rumah di kawasan Minang Ria, Taman Minang, Batu 9 di si­ni kerana terlibat membeli barangan curi hasil aktiviti jenayah yang dilakukan suspek,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Othman memberitahu, suspek pertama kini direman selama seminggu bermula semalam ma­nakala permohonan reman suspek kedua akan dilakukan esok.

Dalam pada itu katanya, seorang lagi rakan suspek yang terlibat melarikan remaja tersebut telah dikenal pasti dan usaha memberkasnya sedang dilakukan.

Pada Khamis lalu, seorang pelajar perempuan dilaporkan diculik dua lelaki ketika sedang menunggu van untuk ke sekolah, kira-kira pukul 7 pagi.

Nur Darleen Dazeera yang juga pelajar di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, itu ditarik dua lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya.

Kejadian berkenaan turut disaksikan pemandu van dan rakan-rakannya, namun tidak sempat berbuat apa-apa. Walau bagaimanapun, kira-kira pukul 2.30 petang Nur Darleen Dazeera ditemukan sedang berjalan kaki seorang diri di pasar raya berhampiran rumahnya.

LEAVE A REPLY