Suspek utama kes pembunuhan bakal abang iparnya di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Seri Iman, di sini, Ahad lalu direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi terhadap suspek yang berusia 29 tahun itu, bagi membantu siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek yang berjaya ditahan polis semalam di Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir, di sini, selepas empat hari dijejaki berdepan hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Semalam, media melaporkan suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika sedang berjalan di tepi jalan di Kampung Petai Bubus, Manir.

Semasa ditahan, suspek yang berada dalam keletihan dan kelaparan, hanya mampu menyerah diri, sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34, yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, maut dipercayai ditikam sebanyak enam kali oleh suspek menggunakan pisau di dada dan di leher.

Mangsa dari Kelantan dikatakan berkunjung ke Pejabat Agama Kuala Terengganu bersama beberapa ahli keluarganya bagi membuat semakan mengenai status bujang bakal adik iparnya yang diragui itu.

LEAVE A REPLY