SUNGAI BESAR: Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar sebulat suara memilih Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai calon Ketua Pemuda UMNO.

Mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar yang diadakan di Sekin Hotel & Resort hari ini menyaksikan Jamal mendapat 152 undi majoriti menewaskan lapan lagi pencabarnya.

Selain Jamal, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki pula meraih 32 undi dan Abdul Razak Mohamed Yusof, tujuh undi manakala dua undi masing-masing diperoleh Imbran Afham Armen dan Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Tiga lagi calon tidak menerima sebarang undi daripada perwakilan iaitu Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun, Wan Md Hazlin Agly Wan Hassan dan Syed Rosli Syed Harman.

Sementara itu, Jamal turut menghantar klip video ucapan terima kasihnya kepada perwakilan yang memilihnya untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam rakaman klip video berdurasi 22 saat dihantar melalui aplikasi WhatsApp, Jamal dilihat mengenakan baju berwarna biru dan berjaket hitam serta berada dalam kenderaan yang bergerak menuju ke lokasi tidak diketahui.

Beliau mengucapkan terima kasih kerana sayap peringkat bahagian berkenaan memberi majoriti besar kepadanya untuk dipilih pada pemilihan sayap parti itu.

“Ini satu langkah dan petanda awal yang cukup baik untuk saya. Terima kasih, saya menang di bahagian (Sungai Besar),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.