Sultan Johor murka dengan putar belit Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kerajaan negeri itu menyerahkan tanah kepada orang China.

“Sudah, sudahlah. Beta selama ini mengelak daripada mengulas kontroversi mengenai Forest City yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir dan penyokongnya.

“Tetapi Dr Mahathir berlebihan memutar belit isu ini,” kata Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada The Star dalam wawancara eksklusif.

“Beliau membuat dakwaan bahawa 700,000 rakyat tanah besar China akan tinggal di JB, dan kewarganegaraan [Malaysia] akan diberi kepada mereka, dan sebahagian besar tanah dijual kepada China.”

Sultan Johor menegaskan baginda enggan mencampuri hal politik namun ingin menjelaskan isu sebenar kerana “kenyataan sebenar telah dipusing oleh orang mempunyai niat dan minda putar belit.”

Mengulas kenyataan mantan perdana menteri pada hujung November lalu, baginda berkata warga Singapura yang berada di negara lebih kecil tidak pula bimbang kedatangan warga asing.

“Cuba lihat jumlah warga asing yang membeli hartanah di Singapura. Adakah rakyat Singapura yang berada dalam republik pulau kecil kecil itu risau?

“Tidak, mereka tidak dan mereka malah menyambut golongan ekspatriat yang kaya-raya ke sana,” kata baginda lagi.

“Di sini kita ada Dr Mahathir yang cuba menakut-nakutkan, menggunakan isu kaum, hanya untuk memenuhi motif politik. Beliau tidak bodoh, beliau cuma pentingkan diri sendiri dan oportunis.”

LEAVE A REPLY