Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secara sah menjadi pemilik nombor pendaftaran VR46 dengan nilai bidaan setinggi RM55,002.20. Pangkal huruf V ialah nombor pendaftaran baharu Kuala Lumpur bagi menggantikan W yang dikuatkuasakan pada Julai tahun lalu.

VR46 pula ialah tanda nama yang sinonim dengan pelumba legenda MotoGP, V-Valentino R-Rossi, dan nombor motosikalnya – 46. Label VR46 turut menjadi jenama barangan dan aksesori yang ada kaitan dengan pelumba kelahiran Itali itu.

VR46 bukanlah satu-satunya nombor pendaftaran yang pernah dimenangi Sultan Ibrahim. Pada Julai tahun lalu, baginda memenangi bidaan nombor pendaftaran Putrajaya, F1 berharga RM836,660.

Malah, nombor pendaftaran pertama Kuala Lumpur, V1 turut dimenangi baginda yang dilaporkan dibeli pada harga RM989,780, sebulan kemudian, iaitu Ogos 2016.

Apa yang menarik perhatian, lama sebelum itu, baginda ada membeli nombor pendaftaran WWW1 bernilai RM520,000 dan dipasang pada sebuah Proton Satria Neo, manakala F1 menjadi nombor plat Proton Perdana 2.4 baharu.

Apakah kenderaan yang bakal mendapat nombor keramat The Doctor, VR46? Mungkinkah sebuah jentera dua roda atau empat roda daripada jenama tempatan atau luar negara?

LEAVE A REPLY