PETALING JAYA – Seorang sukarelawan wanita DAP dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang hasil kutipan ceramah parti berjumlah RM35,019.45, minggu lalu.

Chung Siew Kim, 41, seorang peniaga dalam talian itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Wanita itu didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM34,428.45, dua keping cek bernilai masing-masing RM500 dan RM75, mata wang Thailand 100 baht (RM12) dan mata wang Amerika Syarikat USD1 (RM4) di Pejabat DAP di Damansara Utama, di sini, pada 4 petang, 9 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Syazwan Mohd Hassan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here