Johor Bahru – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menganiayai anaknya manakala suaminya didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sama masing-masing pada 8 dan 9 Januari lalu.

Tertuduh, Sri Anum Hassan, 26, didakwa mendera anak perempuannya yang berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian pada jam 3 petang, 8 Januari lalu.

Suami Sri Anum, Muhd Aideel Fadros Rosli, 31, yang juga bapa tiri mangsa, seorang peniaga kek dalam talian, pula didakwa menganiaya kanak-kanak itu pada jam 11 malam 9 Januari lalu.

Pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Kempas 1/7, Taman Bukit Kempas, dekat sini.

Kedua-dua tertuduh secara berasingan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Ahmad Yusri Fuad. Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 setiap seorang sementara menunggu sebutan semula kes pada 16 Februari ini.

LEAVE A REPLY