Sri Wani mahu saman RM6 juta pihak sebar fitnah

By | April 7, 2012

Sri Wani Choo Abdullah nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menjatuhkan maruah dan perniagaannya.
Tanpa mendedahkan siapakah orang yang dimaksudkan, katanya, dia sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan saman RM6 juta.

“Buat masa ini, peguam sedang mengumpul maklumat berkaitan hal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sri Wani, 37, menegaskan, dia mempunyai bukti yang kukuh untuk bertindak berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan video bertujuan merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.

Suaminya, seorang bekas dekan institusi pengajian tinggi awam tempatan, yang mengesyaki Sri Wani lelaki, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Bahrom Sanugi, 61, bertindak demikian selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu, seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Peguam Bahrom, Muhammad Hafiz Ab Rashid berkata, anak guamnya menikahi Sri Wani pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Menyedari isterinya seorang lelaki, Bahrom membuat aduan ke Jabatan Agama Gombak dan diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 23 April ini untuk memberi keputusan sama ada Sri Wani perlu menjalani ujian pengesahan jantina atau tidak.

Sementara itu, Sri Wani, yang berasal dari Bentong, Pahang, memfailkan bantahan terhadap permohonan suaminya dengan mendakwa dia dianiaya.

Dia turut memfailkan injunksi ex parte (sebelah pihak) terhadap dua madunya kerana mendakwa difitnah.

“Saya ada bukti mereka juga hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan kurang sopan,” katanya.

Abdul Walid memerintahkan Sri Wani menyerahkan bukti itu pada 12 April ini.

Sri Wani dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian juga menekankan bahawa dia menyayangi suaminya.

“Biarlah apa orang nak kata; Tuhan mengetahui segala-galanya,” katanya dalam nada sedih, tetapi tetap yakin.

Artikel berkaitan:
1. Eksklusif: Sri Wani masih sayangi suami
2. Isteriku Lelaki, Dekan Ditipu Lebih Setahun

Incoming search terms:

Leave a Reply