Pemuda UMNO mengingatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng bahawa skandal perdagangan mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah jauh lebih besar berbanding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan nilai kerugiannya.

Naib Ketuanya, Senator Khairul Azwan Harun berkata, skandal melibatkan BNM telah mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion, malah mungkin lebih besar sedangkan 1MDB beroperasi de­ngan modal permulaan RM1 juta tetapi kini mempunyai aset melebihi RM51 bilion.

“Apa yang membuatkan skandal perdagangan mata wang asing BNM lebih dahsyat adalah isu itu disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai, malah ada kemungkinan skandal itu cuba ditutup pada 1991.

“Kit Siang lantang memperkatakan tentang isu ini selama bertahun-tahun, tetapi sekarang adakah beliau sudah lupa apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di sampingnya?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam hal itu, beliau turut menyelar Guan Eng supaya tidak berlagak seolah-olah ‘bersih’ kerana dalam berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan isu pembelian banglo, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak layak untuk memperkatakan tentang isu moral dan integriti.

Beliau dalam nada menyindir meminta Guan Eng mendapatkan bantuan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua sebagai tutor untuk memahami perbezaan antara aset dan ke­rugian.

“Selepas dua tahun Guan Eng masih gagal untuk memahami bahawa 1MDB mempunyai aset RM51 bilion dan bukannya kerugian RM52 bilion. Ada perbezaan yang besar antara aset dan kerugian,” katanya.

Skandal melibatkan BNM telah mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion, malah mungkin lebih besar sedangkan 1MDB beroperasi dengan modal permulaan RM1 juta tetapi kini mempunyai aset melebihi RM51 bilion.”

LEAVE A REPLY