Berita Utama

Singapura mahu Malaysia bayar RM3 juta untuk parkir pesawat Jho Low

By Faizul Lazim

August 24, 2018

Malaysia dilaporkan perlu membayar kira-kira RM3.5 juta jika ia mahu mendapatkan sebuah pesawat peribadi yang dikatakan milik ahli perniagaan kontroversi Jho Low.

The Star, memetik sumber, melaporkan bayaran ini termasuk RM3 juta bagi tempat letak pesawat mewah berkenaan yang telah ditempatkan selama 18 bulan di Lapangan Terbang Seletar.

Laporan itu berkata rundingan telah dibuat mengenai bayaran berkenaan.

“Kerajaan Malaysia juga mesti membayar RM500,000 lagi untuk servis pesawat, yang telah terkandas dan dibiarkan di bawah matahari di apron lapangan terbang itu,” sumber itu menambah.

Kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan pesawat itu selamat untuk diterbangkan telah hampir disempurnakan.

Singapura dilaporkan merampas pesawat Bombardier Global 5000 berharga AS$35 juta itu pada Februari 2017, di mana ia telah terkandas sejak itu.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa Jho Low telah menyalahgunakan wang daripada 1MDB untuk membeli pesawat itu pada 2009.

Malaysia telah merampas kapal layar mewah, Equanimity – salah satu daripada aset yang yang dikatakan diperoleh secara salah oleh Low.