KOTA BHARU – PAS tidak bersetuju dengan tindakan polis menggeledah kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepanjang malam, khususnya sewaktu bulan Ramadan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan itu tidak bersesuaian dan akan membawa tanggapan negatif di kalangan masyarakat.

“Bukanlah PAS menentang tindakan pihak polis untuk menyiasat sebarang salah laku, tetap mereka harus mempertimbangkan masa pemeriksaan itu dijalankan.

“Jika mahu mengumpulkan maklumat, mereka mesti melakukannya dengan lebih berhemah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serbuan yang dijalankan polis di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, sejak malam kelmarin.

Rabu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mula membuat pemeriksaan serentak sejak malam kelmarin di enam premis bagi membantu siasatan kes 1MDB iaitu di Pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, serta tiga unit kediaman di kondominium mewah.

Hasil serbuan, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga buah unit kediaman di kondominium tersebut di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here