Sekumpulan remaja bagai sengaja menempah maut apabila dikesan berenang di Sungai Kelantan, berdekatan Jambatan Sultan Yahya Petra, di Kota Bharu dalam keadaan arus deras selain paras sungai tinggi.

Gelagat mereka dirakam seorang pengunjung sebelum dimuat naik ke laman sosial Facebook semalam, sehingga tersebar luas dan ditonton lebih 62,000 pengguna.

Tindakan remaja berkenaan mendapat pelbagai reaksi dengan ada yang mendakwa aktiviti berkenaan dilakukan penduduk yang mendiami tebing sungai sejak turun-temurun.

Bagaimanapun, ada yang mempersoalkan sikap ibu bapa membenarkan anak mereka mandi di kawasan berbahaya itu. Menerusi video selama 58 saat itu, kumpulan remaja itu seolah-olah tidak takut dengan arus deras dan berenang dengan tanpa menggunakan alat keselamatan termasuk pelampung.

Sepanjang bulan lalu, empat kematian membabitkan kejadian lemas direkodkan di Kelantan masing-masing di Pantai Irama, Bachok; Pantai Tok Bali, Pasir Puteh dan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.

LEAVE A REPLY