Pengaruh media sosial hari ini bukan calang-calang.

Jika digunakan dengan baik, hasilnya juga pasti akan membawa manfaat kepada ramai orang.

Sekali lagi, kuasa media sosial digunakan untuk membantu memberi harapan baharu kepada insan yang memerlukan.

Beberapa hari lalu, pengguna Facebook berkongsi menularkan beberapa gambar yang memperlihatkan seorang lelaki, mengayuh basikal dengan membawa tiga pelajar sekolah.

Ia membangkitkan rasa simpati netizen yang mahu mengenali dan membantu lelaki tersebut.

Dia dijejaki netizen yang prihatin dan barulah diketahui lelaki tersebut bukanlah bapa kepada pelajar-pelajar itu seperti yang disangka ramai.

Bapa pelajar-pelajar itu, Encik Rasuludin, bekerja sebagai pembuat roti canai dan mempunyai kenderaan.

Namun pada hari berkenaan, dia tidak dapat menghantar anak-anaknya seperti biasa ke sekolah kerana keretanya rosak.

Lelaki yang dilihat menunggang basikal bersama anak-anaknya itu, Encik Ali, adalah rakannya.

Keprihatinan masyarakat Malaysia bukan sahaja membolehkan Rasuludin membaiki keretanya, tetapi juga difahamkan, Ali juga akan diberikan basikal untuk memudahkan perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.

Pihak berwajib seperti Lembaga Zakat Kedah pula menjelaskan, Rasuludin sememangnya antara penerima Bantuan Awal Persekolahan, selain beberapa lagi bantuan kecemasan.

Pihak mereka bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus memantau perkembangan keluarga ini.

Syabas, rakyat Malaysia!

LEAVE A REPLY