Seorang ibu tunggal dari Ayer Keroh, Melaka terkejut apabila berita mengenai anaknya yang juga pelajar miskin hanya berpakaian lusuh ke sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh menjadi viral di laman sosial, Facebook.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnah, 40-an, berkata walaupun berita yang tersebar itu benar namun bukan dia yang bertanggungjawab menyebarkannya.

Tiga anaknya, Farid Zakaria, 18; Julie Kalthum, 8; dan Fatimah Zahara Abdullah, 7, itu hanya berpakaian sekolah hasil sumbangan orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan, sejak empat tahun lalu.

“Memang benar, pakaian sekolah yang digunakan anak-anak saya empat tahun lepas itulah dipakai bersilih ganti setiap hari sehingga kini dan ia semakin lusuh.

“Saya tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah untuk mereka kerana tidak mampu, malah wang saku juga saya tidak mampu beri,” katanya.

Hari ini, dua keping gambar anak bongsunya, Fatimah Zahara, yang hadir pada sesi daftar murid Tahun Satu di sebuah sekolah rendah di Ayer Keroh dengan mengenakan pakaian sekolah serta kasut lusuh tersiar di laman sosial, Facebook, sehingga mengundang simpati netizen.

Hasnah berkata, bagi menampung keperluan diri dan tiga anaknya itu dalam keadaan kesempitan hidup itu, dia terpaksa bekerja sebagai guru kelas tambahan secara sambilan dengan pendapatan RM50 bagi tempoh dua jam.

“Saya akan mengajar kelas tambahan dari rumah ke rumah jika ada ibu bapa yang mahu dapatkan perkhidmatan saya. Kadang-kala, saya akan ke madrasah untuk mengajar secara percuma,” katanya yang mengajar subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Melayu.

Katanya, tiada sebarang bantuan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal diterima setakat ini.

LEAVE A REPLY