Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan beliau hampir mati sepanjang menjalankan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Shukri berkongsi pengalaman ngerinya itu selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

“Saya sudah janji nak cerita pengalaman siasatan SRC dan 1MDB. Sebelum itu saya sebenarnya tidak mahu kembali ke SPRM ini, sebab saya dah bersara. Saya bahagia jadi pesara.

“Tetapi apabila dipanggil berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad saya tidak dapat menolak.

“Bukan sebab apa kerana apabila saya melihat beliau yang berusia 93 tahun masih lagi sanggup bekerja untuk negara, akhirnya saya terima dengan satu syarat. Saya kembali untuk selesaikan tugas yang belum selesai,” jelasnya pada sidang media, Selasa.

Mohd Shukri memberitahu, selepas bersara beliau pergi ke Washington (Amerika Syarikat).

“Dalam perjalan ke sana, saya sengaja timbulkan cerita bahawa saya akan pergi ke Jeddah. Dan ketika itulah pihak berkuasa Malaysia menghantar ‘red alarm’ ke Jeddah suruh tangkap saya.

“Tiba di Washington, saya berasa tidak selamat kerana ada orang mengekori saya. Kemudian saya lari ke New York menaiki keretapi dan bertemu dengan kawan di NYPD. Mereka memberi perlindungan selama seminggu bersama tiga orang ‘bodyguard’.

“Selepas rasa selamat saya balik ke Washington dan melihat berita pegawai-pegawai saya ditangkap dan ditukar.

“Pada masa itu saya menangis seperti budak kecil di depan ‘Mat Saleh’. Saya sayangkan SPRM dan rasa bersalah sebab anak buah kena tangkap tetapi saya lari ke AS.

“Saya diam seketika. Kemudian saya ‘WhatsApp’ dua orang menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Paul Low.

“Saya sampai tahap mengugut mereka jika tidak lepaskan anak buah dan beri jawatan lama kepada mereka, saya akan balik dan dedahkan semuanya.

“Saya nak gunakan kuasa saya untuk tangkap mereka kerana menghalang siasatan. Saya akan buat. Dan Alhamdullilah selepas itu Shahidan dan Paul Low bagi balik tugas kepada pegawai saya.

“Saya dan Tan Sri Abu Kassim berjuang untuk selamatkan negara. Tetapi kami dituduh pembelot,” jelasnya yang sedikit beremosi.

Tambah Mohd Shukri, beliau dan Abu Kassim berterusan berjumpa dengan menteri-menteri untuk memberitahu kes RM2.6 bilion adalah kisah benar.

“Dalam ramai-ramai menteri, hanya tiga orang sahaja yang berani bersuara iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Kes 2.6 bilion bukan cerita rekaan. Ia sangat besar. Memandangkan usaha kami tidak berjaya kami pergi jumpa Majlis Raja-Raja, namun hampa.

“Dan saya mengambil keputusan bersara lebih awal memandangkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad akan masuk lebih awal sebagai KP SPRM.

“Saya tidak boleh bekerja dengan pembelot seperti dia,” jelas Mohd Shukri.

Mohd Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum beliau bersara awal pada 31 Julai 2016 dengan jawatan terakhir yang dipegang beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Perdana menteri melantik Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Dzulkifli yang memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM dan sudah melaporkan diri di Pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.